ANGGOTA polis trafik melakukan pemeriksaan pada sekatan jalan raya. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA polis trafik melakukan pemeriksaan pada sekatan jalan raya. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Bagi menyekat pergerakan rentas negeri dan daerah di Pulau Pinang, sebanyak 39 sekatan jalan raya (SJR) diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula tengah malam ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, seramai 1,142 anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bertugas sepanjang SJR itu berlangsung.

"Perkara ini dimaklumkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang pagi tadi (semalam).

"Dalam mesyuarat itu juga, kerajaan negeri mengenal pasti dua lokasi baharu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah iaitu di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Seberang Perai Selatan dan Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong di sini.

"Untuk melaksanakannya, kerajaan negeri memohon peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi mengoperasikan kedua-dua lokasi yang masing-masing mampu menempatkan 1,000 pesakit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang juga menyatakan persetujuan untuk menjalankan saringan dalam kalangan pekerja mereka.

"Pada masa sama, kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) juga bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

"Semua rakyat Pulau Pinang sekali lagi diminta dapat menerima keputusan PKP memandangkan ia amat diperlukan berikutan terdapat penambahan kes mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara selain merujuk prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa," katanya.

Situasi semasa Covid-19 di Pulau Pinang merekodkan 5,057 kes termasuk pertambahan 112 kes baharu yang dilaporkan semalam.

Lima daerah di negeri itu juga berada pada zon merah apabila mencatatkan lebih 40 kes dalam tempoh dua minggu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 3:28 PM