CECAIR vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CECAIR vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi memohon Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat disegerakan di negeri itu terutama di sektor perkilangan atau untuk zon merah.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, ini kerana kluster perkilangan masih direkodkan sebagai yang tertinggi dengan pertambahan dua laporan terbaharu, semalam.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 'berdiam diri' terhadap program 'Safe@Work' yang sepatutnya bermula pada 1 April lalu.

"Justeru, kerajaan negeri mengambil inisiatif apabila bekerjasama dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang berhubung saringan massa ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 menggunakan sampel air liur.

"Saringan itu mula dilaksanakan pada Sabtu lalu dan sehingga hari ini terdapat seramai 538 individu sudah disaring.

"Pada masa sama, kita mengharapkan supaya PICK dapat disegerakan kepada mereka yang tersenarai dalam sektor perkilangan atau yang berada dalam zon merah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri berharap sektor perkilangan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) peratusan penggiliran kerja terkini yang diumumkan.

"Usaha dan kesepakatan kita adalah penting dalam melandaikan lengkuk jangkitan serta mengelakkan kelumpuhan sektor kesihatan negeri secara keseluruhan.

"Selain itu, 'lockdown' kendiri juga adalah pendekatan penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19," katanya.

Situasi Covid-19 di Pulau Pinang kini menunjukkan jumlah kumulatif 26,119 kes membabitkan 24,272 kes sembuh, 1,789 kes aktif dan 58 kematian.

Dalam pada itu, kelima-lima daerah di negeri ini juga berada pada zon merah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:48 PM