GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 terus mencatatkan empat angka apabila sebanyak 2,433 kes dilaporkan hari ini dengan sembilan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 135,992 kes dan kebolehjangkitan pula sebanyak 27,332 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes (30.0 peratus). Daripada jumlah itu, sebanyak 510 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Sabah sebanyak 403 kes (16.6 peratus) dan Johor sebanyak 321 kes (13.2 peratus).

"Sebanyak 86 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes) dan Kluster Tembok Choh (1 kes)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,277 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 108,109 kes.

Tambah beliau, terdapat 171 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 76 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, terdapat pertambahan sembilan kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 551 kes.

"Lima kes dilaporkan di Selangor iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 51 hingga 78 tahun.

"Tiga kematian dilaporkan di Kuala Lumpur membabitkan wanita berusia 94 tahun dan dua lelaki bukan warganegara berusia 37 serta 60 tahun. Manakala satu kematian di Sabah membabitkan wanita berusia 83 tahun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 7:33 PM