ISMAIL Sabri (dua dari kiri) berbual bersama mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ISMAIL Sabri (dua dari kiri) berbual bersama mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Tiada jangkitan kes Covid-19 direkodkan membabitkan mangsa banjir yang ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan pemantauan dan laporan yang diterima, majoriti mangsa banjir yang ditempatkan di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita berharap semua pihak dapat mematuhi semua SOP ditetapkan supaya rekod baik itu kekal sehingga musim tengkujuh.

"Saya percaya kalau semua patuh kepada SOP yang dikeluarkan, InshaAllah, kita boleh elak jangkitan di PPS," katanya selepas melakukan tinjauan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, di sini hari ini.

Berdasarkan pemantauannya, Ismail Sabri berkata, semua mangsa banjir perlu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual selain memakai penutup muka.

"Cuma yang saya bimbangkan daripada segi penjarakan kerana mungkin agak sukar sikit kalau terlampau ramai dan berharap semua pihak dapat menjaga penjarakan fizikal.

"Di beberapa tempat yang saya pergi, memang tidak ada gotong-royong memasak dan semua makanan adalah berbungkus dan itu antara SOP yang ditetapkan, setakat ini, saya lihat PPS yang dibuka patuh kepada SOP," katanya.

Ismail Sabri turut berterima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu dalam menyelamatkan mangsa banjir dan memberikan pelbagai bantuan.

Bagaimanapun, katanya, NGO yang terbabit diminta menghubungi Pusat Pengurusan Bencana Banjir Daerah supaya segala bantuan dapat diselaraskan.

"Ia bagi memudahkan kita mengetahui nama mereka yang terbabit untuk penghantaran barangan supaya kalau ada berlaku apa-apa, kita boleh kesan siapa dan di mana mereka.

"Selain itu, kita dapat tahu ke mana barang itu patut dihantar sebab mungkin ada tempat yang sudah terima banyak barang dan ada tempat yang tak mencukupi.

"Bagi individu atau NGO yang datang daripada zon merah yang nak datang ke kawasan hijau, elok buat 'swab test' terlebih dahulu kerana bimbang membawa jangkitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:32 PM