Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi musim banjir.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP berkenaan sudah dirangka bagi disesuaikan dengan keadaan semasa negara yang masih bergelut dengan Covid-19.

Menurutnya, akan berlaku perubahan dari segi penjumlahan mangsa yang akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan perlu melaksanakan penjarakan fizikal.

"Jumlah PPS mungkin ditambah kerana mangsa yang akan ditempatkan perlu ada penjarakan fizikal selain mempunyai ruang mencukupi untuk pengudaraan dan tidak tertutup.

"Jadi selain dewan, PPS juga akan diperluaskan kepada bilik darjah dan kantin sekolah untuk menempatkan mangsa banjir.

"SOP memindahkan mangsa banjir juga dibuat kerana tidak boleh terlalu ramai dalam bot atau kenderaan ketika pemindahan dijalankan," katanya dalam sidang media, hari ini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama

Selain itu, Ismail Sabri berkata, tiada lagi gotong-royong untuk memasak seperti kebiasaan yang dijalankan di PPS sebelum ini.

Katanya, makanan bermasak akan dibungkus sebelum diagihkan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul melebihi 20 orang di setiap rumah ketika sambutan Deepavali tidak lama lagi.

Menurutnya, rondaan pasukan task force pematuhan akan dijalankan seperti dilaksanakan ketika Aidilfitri lalu.

"Tiada pergerakan rentas daerah dan negeri ketika Deepavali dibenarkan namun perhimpunan tidak melebihi 20 orang untuk setiap rumah di daerah sama dibenarkan.

"Polis akan mengambil tindakan sekiranya ada pihak yang melanggar SOP berkenaan ketika rondaan di kampung dan taman perumahan dijalankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 6:02 PM