GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Kerajaan negeri menafikan dakwaan pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, penuh sehingga terpaksa menolak kemasukan mangsa banjir baharu, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, perkara itu bukan sahaja tidak benar malah PPS di daerah ini masih berupaya menampung mangsa banjir Kota Tinggi sekiranya berlaku pertambahan.

"Tidak benar PPS di Kota Tinggi sudah penuh dan tidak terima mangsa banjir baharu lagi.

"Masih banyak lagi kekosongan di PPS di sini. Mangsa banjir terjejas hanya perlu bertemu pegawai bertugas sebelum mereka akan ditempatkan ke mana-mana PPS yang berhampiran kawasan mereka.

"Saya sudah minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pastikan sesiapa juga mangsa banjir yang datang memohon penempatan supaya dibantu segera selepas maklumat pengadu diambil bagi proses dokumentasi data mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita ketika meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Kolej Vokasional Kota Tinggi di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan empat beranak terpaksa tidur di dalam kereta, selepas rumah mereka di Taman Kota Jaya di sini dinaiki air mencecah 0.5 meter awal pagi Ahad lalu.

Zaliza Ali bersama seorang anak perempuan, dua anak lelaki serta seorang anak saudara perempuannya, dilaporkan mengambil keputusan tidur di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza miliknya, selepas gagal mendapat tempat di PPS.

Zaliza dilaporkan berkata, mereka pada mulanya ke PPS di Taman Daiman yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumahnya, namun pusat pemindahan itu sudah penuh dengan mangsa banjir dari pelbagai lokasi berdekatan.

Sementara itu, Zaiton berkata, stok dan bekalan makanan di pangkalan simpanan negeri ini untuk banjir mencukupi dan terkawal walaupun tujuh daerah masih dilanda banjir.

"Setakat ini stok bekalan makanan cukup. Setiap daerah ada pangkalan simpanan masing-masing dan bekalan sentiasa diperiksa dan dikemaskini.

"Jika bekalan kita tidak cukup negeri lain yang tidak dilanda banjir sudi menghulurkan bantuan bagi mencukupkan pangkalan simpanan makanan kita, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 6:49 PM