Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Kementerian Perpaduan Negara menggerakkan 8,330 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara bagi memberi bantuan di kawasan terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ahli KRT digerakkan bagi membantu pembersihan rumah mangsa banjir selain bertugas di dapur komuniti yang dibuka kementerian itu bagi mengagihkan bantuan makanan panas kepada mangsa banjir.

Katanya, ahli KRT diarahkan untuk segera membantu kerja pembersihan kediaman mangsa banjir terjejas berganding bahu dengan ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kementerian Perpaduan sudah menggerakkan 8,330 KRT seluruh negara yang mempunyai keahlian seramai 250,000 bagi membantu mangsa banjir terjejas di seluruh negara.

"Sebelum ini kita sudah gerakkan 150 ahli KRT bagi membantu kerja pembersihan kediaman mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Sekiranya kawasan KRT terjejas banjir kita akan gerakkan ahli dari kawasan atau negeri lain bagi membantu mangsa banjir," katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai di sini, hari ini.

Terdahulu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meninjau mangsa banjir di PPS SK Mawai.

Terdapat 117 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka di Kampung Baru Mawai dinaiki air banjir sejak semalam.

Sementara itu, Halimah berkata, Kota Tinggi bersiap siaga membuka lebih banyak PPS jika banjir semakin buruk berikutan hujan berterusan.

Katanya, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah sudah menyiapkan semua keperluan untuk pembukaan lebih banyak PPS di daerah itu.

"Setakat ini banjir di Kota Tinggi masih tidak seburuk pada 2006 serta awal tahun lalu, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya semua pihak bersedia sepenuhnya.

DATUK Halimah Mohamed Sadique melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Halimah Mohamed Sadique melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Kita tidak mahu tunggu paras banjir lebih tinggi bagi mengelakkan pemindahan lebih sukar dan nyawa penduduk terancam. Kita belajar daripada pengalaman negeri lain sebelum ini," katanya.

#kw KRT, bantu, banjir, PPS, Kota Tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 3:51 PM