DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sengaja tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Itu antara kesalahan tertinggi direkodkan susulan penahanan 363 individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 144 individu ditahan atas kesalahan berkenaan manakala 129 ditahan kerana gagal menyedia peralatan atau rekod butiran diri.

Katanya, kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (53), premis beroperasi lebih masa (17), aktiviti kelab malam (15), masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat tanpa kebenaran (2) dan masing-masing satu kes atas kesalahan langgar perintah kuarantin, aktiviti perjudian dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Daripada jumlah yang ditahan itu, 307 individu dikenakan kompaun manakala 56 individu direman.

"Selain itu, menerusi Op Benteng pula seramai 151 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan seorang tekong ditahan selain merampas lima kenderaan.

"Sebanyak 133 sekatan jalan raya Op Benteng dilakukan kelmarin membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam kenyataan tadi.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga hari ini, seramai 42,000 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta 14 premis lain.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,659 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 106 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 32,235 dibenarkan pulang.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis barangan di 672 premis perniagaan termasuk 488 peruncit, 164 pemborong dan 20 pengilang.

"Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 1,062 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,046 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 16 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 3:55 PM