ANGGOTA polis melakukan rondaan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
ANGGOTA polis melakukan rondaan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 1,002 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 148 individu direman manakala 854 individu pula dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk termasuk aktiviti pusat hiburan (687), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (125), tidak memakai pelitup muka (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63) dan lain-lain (58)," menerusi kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ke-284 dan hari ke-200 PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 35 pendatang tanpa izin serta merampas tiga kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 115 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam membabitkan pecahan operasi Penawar (ATM, PDRM dan Rela), Benteng PDRM (63 SJR) dan Benteng Aksem (sembilan SJR).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Beliau berkata, PDRM juga sudah membuat 49,603 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 2,454 Pasukan Pematuhan membabitkan 10,632 anggota membuat pemantauan di 3,579 pasar raya, 4,656 restoran serta 1,852 penjaja, 1,118 kilang, 3,314 bank dan 498 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,076 terminal pengangkutan darat, 195 terminal pengangkutan air serta 102 terminal pengangkutan udara," katanya.

Sementara itu, sebanyak 14,716 premis sudah disanitasi iaitu 2,935 pusat perniagaan, 1,693 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,942 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,789 bangunan kerajaan.

Ismail berkata, semalam sebanyak 23 operasi sanitasi meliputi lapan zon merah, empat zon jingga, lima zon kuning dan satu zon hijau membabitkan lima negeri dan satu di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 6:02 PM