Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 672 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 643 orang dikompaun dan 29 direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi dilakukan adalah aktiviti pusat hiburan membabitkan 442 individu dan 90 individu pula tidak memakai pelitup muka.

"Seramai 78 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25)," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan PKP, hari ini.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 118 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 83 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan seorang tekong.

Selain itu, katanya tiga kenderaan darat dirampas bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga semalam, 89,479 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 75 hotel serta 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) selain swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,384 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 532 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 80,563 individu sudah dibenarkan pulang," katanya.

Katanya, sejak 20 April sehingga semalam juga, sebanyak 14,007 pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang membabitkan 8,000 tapak binaan di seluruh negara.

"Semalam, anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di tujuh tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 5:35 PM