Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melakukan 24 tangkapan membabitkan 61 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan lima tekong dalam Operasi Benteng di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) itu dilakukan bagi mengawal sempadan daripada dibolosi Pati.

"Dalam operasi di Bandar Penawar, Johor, pasukan berjaya menahan 26 Pati dan lima tekong atas kesalahan imigresen manakala di Bukit Kayu Hitam, Kedah pula 12 Pati ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Sebanyak 72 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam dengan memeriksa 24,972 kenderaan dan 11 tangkapan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) hari ke-176 dan hari ke-92 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 9,883 operasi sanitasi awam Covid-19 merangkumi 134 zon dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

"Sebanyak 12,973 premis sudah disanitasi yang terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, 5,708 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,607 tempat awam dan 354 pasar raya.

"Semalam, sebanyak sembilan operasi sanitasi dilakukan meliputi enam zon hijau membabitkan empat negeri iaitu Pulau Pinang (empat operasi), Sabah (dua operasi), Melaka (dua operasi) dan Johor (satu operasi)," katanya.

Mengenai pemantauan tapak binaan, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam memeriksa 12 tapak binaan di seluruh negara dan mendapati kesemua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 3:28 PM