GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seramai 108 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup ditahan pada Ops Benteng Covid-19 semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa turut merampas sebuah bot dan dua kenderaan darat.

Katanya, 78 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (15 SJR), polis (53 SJR) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dengan 10 SJR.

"Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut membuat pemeriksaan di enam tapak binaan di seluruh Malaysia.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, lima tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sebuah lagi tidak beroperasi.

Pada masa sama, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga 11 September lalu, 27,101 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Mereka ditempatkan di 69 hotel selain Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 10,097 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 16,935 individu didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 3:36 PM