ISMAIL Sabri (gambar Arkib). FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (gambar Arkib). FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


SERAMAI 84 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 27 individu direman manakala 55 individu pula dikenakan kompaun dan dua individu dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (45), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (10), premis beroperasi lebih masa (2), premis beroperasi tanpa lesen (1), aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (7), serta dua tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati)," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 62 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan memeriksa 28,309 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus dan berjaya menahan empat warga asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga 29 Ogos lalu, seramai 20,190 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 74 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 8,854 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 11,280 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, PDRM juga mengadakan 418 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing semalam dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 688 premis perniagaan termasuk 482 daripadanya adalah peruncit, 175 membabitkan pemborong dan 31 pengilang.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,264 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,196 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP," katanya.

Selain itu katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di satu tapak binaan di Sabah.

"Hasil pemeriksaan mendapati tapak binaan terbabit mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 2:58 PM