SIJIL cuti sakit palsu yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap lima individu di sekitar Gombak dan Sungai Buloh, Sabtu lalu. FOTO ihsan polis
SIJIL cuti sakit palsu yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap lima individu di sekitar Gombak dan Sungai Buloh, Sabtu lalu. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Polis menahan lima individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pemalsuan sijil cuti sakit sebuah klinik swasta di Kundang, di sini, dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor yang bertugas di klinik swasta berkenaan pada 12 Disember lalu.

"Menurut pengadu, dia menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat swasta di Puchong untuk mengesahkan satu sijil cuti sakit membabitkan pekerjanya yang dikeluarkan kliniknya pada 24 November lalu.

"Semakan terhadap sijil cuti sakit itu mendapati tiada rekod sebelum pengadu diberikan satu salinan sijil cuti sakit berkenaan untuk disahkan. Pengadu mengesahkan bahawa sijil cuti sakit ditunjukkan pihak syarikat terbabit adalah palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, doktor berkenaan kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada sijil cuti sakit itu sebelum panggilan terbabit dijawab seorang lelaki tempatan dan pengadu mengajak individu itu berjumpa bagi mendapatkan maklumat sebenar.

"Lelaki itu menawarkan RM5,000 kepada pengadu supaya tidak membesar-besarkan isu berkenaan, namun dia menolak tawaran terbabit lalu membuat laporan polis pada 12 Disember lalu.

"Bertindak atas maklumat itu, kami menahan dua lelaki dan tiga wanita tempatan di sekitar daerah ini dan Sungai Buloh yang disyaki terbabit dalam pemalsuan sijil cuti sakit klinik pengadu dan menggunakan sijil cuti sakit berkenaan.

"Kami turut merampas dua komputer, empat telefon bimbit, dua mesin cetak serta 15 sijil cuti sakit palsu (salinan asal) yang digunakan untuk imbas serta mencetak sijil cuti sakit," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek berusia antara 23 hingga 55 tahun berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Mereka direman selama enam hari bermula 13 hingga 18 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 5:45 PM