ANTARA barang rampasan susulan penahanan enam suspek yang disyaki terbabit kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu. FOTO  Ihsan Polis
ANTARA barang rampasan susulan penahanan enam suspek yang disyaki terbabit kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Enam individu ditahan polis selepas disyaki terbabit kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu di daerah ini, pada minggu lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki, berusia antara 26 hingga 51 tahun itu, ditahan dalam serbuan di Kajang dan Bukit Jalil di sini, pada 8 dan 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas menerima laporan berkaitan kegiatan menjual sijil cuti sakit palsu.

"Hasil siasatan, pasukan berjaya mengesan dan menahan suspek dalam dua siri serbuan berasingan.

"Siasatan juga mendapati suspek menjual sijil cuti sakit berkenaan pada harga antara RM30 hingga RM50," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas enam buku sijil cuti sakit, 171 keping sijil cuti sakit kerajaan, 70 keping sijil cuti sakit swasta, 19 resit klinik, sebuah komputer riba dan lapan telefon bimbit.

Beliau berkata, kumpulan itu disyaki aktif menjual sijil cuti sakit palsu kepada pelanggan di sekitar Kajang, sejak setahun lalu.

Katanya, kesemua suspek direman lima hari bermula 9 Disember lalu sehingga hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M Tanaseelan di IPD Kajang menerusi talian 03-89114242.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 9:16 AM