SEORANG lelaki tempatan yang dikhuatiri lemas dipercayai ketika memancing dalam kejadian di perairan Selat Johor di Kampung Tanjung Langsat, semalam, sudah ditemui. FOTO Ihsan Bomba Johor
SEORANG lelaki tempatan yang dikhuatiri lemas dipercayai ketika memancing dalam kejadian di perairan Selat Johor di Kampung Tanjung Langsat, semalam, sudah ditemui. FOTO Ihsan Bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Mayat lelaki yang lemas ketika memancing di perairan Selat Johor di Kampung Tanjung Langsat dekat sini, semalam, ditemui jam 1.15 tengah hari tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata, mayat Fazudin Azuardi Ismadi, 33, ditemui orang awam jam, kira-kira dua kilometer dari rumah rakit ke jeti Tanjung Langsat.

"Mangsa bekerja sendiri dan sering memancing. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Terdahulu, pada kejadian jam 12 tengah hari semalam, mangsa bersama seorang rakan pergi memancing dengan menaiki sampan ke sebuah rumah rakit di perairan itu.

Berikutan angin kuat dan arus deras, mereka naik ke rakit dan menambat sampan di rakit terbabit.

Selepas mangsa menyedari tali penambat sampan terlepas, dia terjun dan berenang untuk mendapatkan semula sampan itu.

Tidak lama kemudian, rakan mangsa yang berada di rakit melihat mangsa tenggelam timbul sambil meminta tolong.

Rakan mangsa meminta bantuan daripada beberapa individu di sekitar rakit namun kelibat mangsa sudah tidak kelihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 4:32 PM