Noorazura Abdul Rahman


Bukit Kayu Hitam: Rondaan di sempadan Malaysia-Thailand di utara Semenanjung akan dilaksana secara bersama oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mulai tahun hadapan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama bersepadu dalam Ops Benteng itu bagi memastikan kawalan di sempadan lebih ketat dan mengurangkan aktiviti penyeludupan serta pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Sebelum ini pada Ops Benteng, pihak ATM tiada kuasa untuk menangkap, jadi apabila ada pencerobohan, polis akan dipanggil untuk membantu dari segi tangkapan.

"Ini kerana kuasa tentera tertakluk kepada peperangan apabila membabitkan musuh, tetapi Pati dan penyeludup tidak dianggap musuh dalam Akta Tentera.

"Maka ada kekangan untuk mereka mengambil tindakan dan menangkap pesalah. Jadi selepas ini apabila secara bersama, tangkapan membabitkan Pati dan penyeludup boleh dilakukan serta-merta," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Beliau dalam lawatan kerja ke Kem Penempatan Tentera Darat dan Kawasan Operasi Sempadan Malaysia-Thailand. Turut mengiringinya, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

ISMAIL Sabri (tengah) ketika melakukan lawatan ke Kem Penempatan Tentera Darat sempadan Malaysia-Thailand berhampiran dengan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam. FOTO AMRAN HAMID
ISMAIL Sabri (tengah) ketika melakukan lawatan ke Kem Penempatan Tentera Darat sempadan Malaysia-Thailand berhampiran dengan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam. FOTO AMRAN HAMID

Mengulas lanjut, Ismail berkata, dua pos baharu dikenali pos sempadan terkoordinasi akan dibina di Padang Terap, yang dikawal tentera Malaysia dengan kerjasama tentera Thailand.

"Kita sudah mendapat kerjasama penuh dari negara jiran. Di pos itulah kita bertukar maklumat dan informasi untuk membanteras jenayah sempadan.

"Selain itu kita akan tingkatkan kawalan dengan penambahan aset senjata, peralatan seperti 36 motosikal 'scrambler' berkuasa tinggi, lapan kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV), yang akan mula terima semua peralatan ini mulai Januari.

"Malah ketika ini pun, kita sudah memiliki enam dron yang sudah mula digunakan," katanya.

Mengulas mengenai perolehan aset keselamatan, beliau memaklumkan kerajaan akan membuka tender untuk tambahan baju kalis peluru, topi keledar dan binokular penglihatan malam dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pihaknya juga akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbang tambahan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan radar di sempadan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 8:12 PM