ANTARA kereta yang terbabit kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 15 Jalan Kuala Pilah - Simpang Pertang. FOTO ABNOR HAMIZAM
ANTARA kereta yang terbabit kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 15 Jalan Kuala Pilah - Simpang Pertang. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Pemandu lori Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 15 Jalan Kuala Pilah - Simpang Pertang pada 12.50 tengah hari tadi.

Enam kenderaan itu membabitkan sebuah lori tanpa muatan dan lima kereta.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kemalangan itu berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran pekan Batu Kikir.

Katanya mangsa yang maut dikenali sebagai Normaheiran Mohamad, 47, dari FELDA Raja Alias Empat dan memandu kereta Perodua Kancil.

"Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Simpang Pertang menghala Kuala Pilah dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya ketika tiba di lampu isyarat yang berwarna merah.

"Berikutan itu lori dipandu lelaki 39 tahun itu merempuh bahagian belakang lima kereta yang berada di hadapannya

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala selain tersepit dalam kereta dipandunya," katanya hari ini.

Hoo berkata seorang pemandu kereta lain berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan apabila patah kaki dan tangan dan sudah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah bagi menerima rawatan manakala tiga lagi pemandu kereta lingkungan usia 20 hingga 40 an tidak mengalami kecederaan.

Katanya saringan air kencing pemandu lori mendapati positif Methamphetamine dan ditahan bagi siasatan lanjut.

"Siasatan juga mendapati lori kargo lapan tan itu dalam perjalanan dari Kuantan ke KLIA bagi mengambil barang dan sebelum itu turut terbabit kemalangan di Kilometer 28 Jalan Bahau - Keratong kira-kira 9 pagi tadi.

"Polis masih menjalankan siasatan kejadian mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu adik mangsa, Mohd Fairus Mohamad, 37, berkata kali terakhir dia bertemu dengan arwah abangnya pada 14 November lalu bagi meraikan hari lahir ibu mereka di FELDA Raja Alias Empat.

Katanya, arwah adalah anak sulung daripada lima beradik dan seorang yang bertanggungjawab..

"Hubungan kami lima beradik sangat mesra dan tidak sangka arwah pergi sekelip mata.

"Saya sedang bercuti dan berada di rumah ibu ketika didatangi jiran yang memaklumkan kejadian itu pada 2 petang tadi," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

Katanya arwah yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dan seorang pekerja yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:01 PM