FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pemandu lori ayam dikompaun RM5,000 kerana merentas daerah tanpa kebenaran, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pemandu berusia 59 tahun itu ditahan polis yang menjalankan pemantauan di Kilometer 5 Jalan Bahau-Juasseh pada 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika ditahan pemandu yang membawa ayam hidup itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pergerakannya.

"Pemandu lori itu mendakwa dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Bahau bagi menghantar ayam hidup ke kedai berhampiran.

"Bagaimanapun dia gagal mengemukakan dokumen berkaitan aktiviti dijalankan termasuk dokumen syarikat, sebaliknya hanya menunjukkan salinan geran kenderaan dan surat kebenaran rentas daerah tahun lalu," katanya.

Hoo berkata, berikutan alasan tidak munasabah itu, polis mengeluarkan kompaun RM5,000 ke atas pemandu lori berkenaan.

Menurutnya, orang ramai perlu mengemukakan surat daripada kementerian atau agensi berkaitan, surat kebenaran polis seperti yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 4:02 PM