JKDM merampas rokok putih menerusi penahanan enam kontena di Pelabuhan Utara. FOTO IHSAN JKDM.
JKDM merampas rokok putih menerusi penahanan enam kontena di Pelabuhan Utara. FOTO IHSAN JKDM.
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Sindiket penyeludupan rokok `berputih mata' apabila sebanyak 30.6 juta batang rokok bernilai RM2.14 juta disorokkan di dalam enam kontena dirampas pihak berkuasa.

Cubaan itu dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hasil pemeriksaan dilakukan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM tdi Pelabuhan Utara di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap enam kontena yang tiba di pelabuhan itu pada 5 Disember lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan ke atas enam kontena itu menemui rokok putih berjenama dimuatkan di dalam semua kontena itu.

"Siasatan awal mendapati tiada borang pengisytiharan untuk import mahupun pindah kapal (transhipment) diserahkan oleh nakhoda kapal atau ejen perkapalan bagi ketibaan kontena itu seperti dikehendaki mengikut Seksyen 52 Akta Kastam 1967," katanya tadi.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tiada dokumen perkapalan yang dapat menunjukkan bahawa kontena-kontena itu didaratkan untuk tujuan pindah kapal (transhipment).

"Jumlah keseluruhan rokok yang ditahan dianggarkan berjumlah 30.6 juta batang yang dianggarkan bernilai RM2.14 juta dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM20.4 juta," katanya.

Abdul Latif berkata, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan ke atas syarikat ejen perkapalan dan dalang di sebalik sindiket itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 52 (1) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:38 PM