GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Seorang pembantu perawatan kesihatan kerugian RM6,130 akibat terpedaya dengan iklan pinjaman wang tidak wujud menerusi Facebook pada 8 Disember lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Deputi Superintendan Fazli Md Rashid berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan terbabit kemudiannya berurusan dengan suspek yang mendakwa wakil syarikat pinjaman wang.

"Mangsa bersetuju membuat pinjaman RM25,000 sebelum diarahkan membuat pembayaran bagi urusan guaman, bayaran senarai hitam dan faedah kerajaan.

"Pada 8 dan 9 Disember, mangsa membuat empat pindahan wang berjumlah RM6,130 ke akaun diberikan suspek," katanya hari ini.

Mangsa kemudiannya dimaklumkan akan menerima wang pinjaman dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kata Fazli, mangsa mula rasa tertipu apabila suspek memintanya melakukan pindahan wang.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:18 PM