FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib


HENDAK meminjam daripada syarikat pinjaman wang, tetapi beri pula wang kepada syarikat itu.

Itulah yang berlaku terhadap seorang lelaki apabila diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud sehingga menyebabkannya kerugian RM30,823.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula September lalu apabila mangsa berusia 41 tahun melayari laman sosial Facebook dan melihat iklan pinjaman wang.

“Mangsa kemudian berhubung dengan pemilik akaun Facebook berkenaan sebelum lelaki itu menerima satu nombor telefon untuk membuat pinjaman peribadi.

“Mangsa berhubung dengan seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai Siti,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas perbincangan, suspek meminta mangsa membuat pelbagai bayaran kononnya untuk meluluskan pinjaman berkenaan.

“Mangsa memasukkan wang RM30,823 ke dalam tiga akaun secara berperingkat sehingga kelmarin,” katanya.

Namun selepas itu, mangsa tidak mahu meneruskan urusan permohonan pinjaman berkenaan selepas mengesyaki berlaku penipuan.

“Mangsa meminta suspek memulangkan semula wang diberikan, namun wanita itu enggan memulangkannya.

“Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 12:33 PM