ANTARA suspek mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China yang ditahan. FOTO ihsan Polis
ANTARA suspek mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China dalam tiga serbuan di beberapa kondominium di Jalan Danau Setapak dan Jalan Tun Razak, di sini, 4 hingga 7 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menahan 18 lelaki serta seorang wanita warga China berusia antara 21 hingga 39 tahun dalam serbuan berkenaan.

"Hasil serbuan dilakukan, kami merampas 15 komputer riba, 14 tetikus, tiga modem, tiga router dan 49 telefon bimbit yang dianggarkan berjumlah RM65,000.

"Siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah mempromosikan kegiatan judi dalam talian bagi pasaran di China dengan menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp serta QQChat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajab berkata, ahli sindiket itu akan menghantar ratusan mesej kepada pelanggan di China sejak menjalankan kegiatan terbabit hampir tiga bulan lalu.

"kondominium yang dijadikan pusat operasi itu disewa pada kadar RM1,500 hingga RM5,000 sebulan.

"Premis berkenaan akan beroperasi setiap hari bermula dari 8 pagi hingga 8 malam mengikut syif," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama 14 hari bermula semalam hingga 21 Disember nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kami memandang serius isu penganjuran dan kegiatan judi haram. Pelbagai usaha dan operasi dijalankan oleh Polis Wangsa Maju untuk membanteras kegiatan judi haram terutama aktiviti judi dalam talian.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan judi haram kerana tindakan tegas boleh diambil berdasarkan undang-undang terhadap penganjur serta pelanggan yang

bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai di daerah ini supaya menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan tempat tinggal masing-masing.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:09 PM