MOHAMMAD FAIZ ROSMAN. FOTO IHSAN MOHAMMAD FAIZ ROSMAN
MOHAMMAD FAIZ ROSMAN. FOTO IHSAN MOHAMMAD FAIZ ROSMAN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Mulianya hati penghantar makanan Mohammad Faiz Rosman kerana menunaikan hajat seorang kanak-kanak lelaki yang juga pelanggannya untuk menikmati piza.

Bukan setakat itu, Mohammad Faiz, 21, tidak keberatan menghalalkan piza kepada kanak-kanak lelaki berkenaan selepas tidak menerima bayaran penuh daripada pelanggan ciliknya itu.

Kisah itu menarik perhatian warganet selepas pengguna Twitter, Aidil Uzair Rostam, 21, memuat naik ciapan tangkap layar perbualan WhatsApp antara Mohammad Faiz yang juga rakannya dan pelanggan berkenaan.

Tangkap layar itu menunjukkan bagaimana Mohammad Faiz mengusik kanak-kanak lelaki berkenaan yang akhirnya memohon maaf kerana tidak memberi wang secukupnya ketika membuat bayaran menerima piza yang dipesan.

Perkongsian itu mencuit hati warganet dengan rata-ratanya memuji sikap Mohammad Faiz kerana tidak berkira dengan pelanggan.

Berkongsi kisah itu, Mohammad Faiz berkata, insiden terbabit berlaku pada Rabu lalu selepas dia mengambil pesanan daripada seorang pelanggan pada jam 7.30 malam.

"Pelanggan itu membuat pesanan piza bersaiz besar berharga RM28.50 termasuk caj penghantaran dan saya terus menghantar ke rumahnya di Puncak Jalil, Bukit Jalil selepas mengambil makanan berkenaan di sebuah restoran makanan segera berhampiran.

PERBUALAN Whatsapp Mohammad Faiz dan pelanggannya yang mencuit hati warganet. FOTO IHSAN MOHAMMAD FAIZ ROSMAN
PERBUALAN Whatsapp Mohammad Faiz dan pelanggannya yang mencuit hati warganet. FOTO IHSAN MOHAMMAD FAIZ ROSMAN

"Sebaik tiba di rumahnya, seorang kanak-kanak perempuan berumur lingkungan lapan tahun keluar dari rumah bersama patung dan plastik berisi wang syiling.

"Entah kenapa saya jadi sebak selepas melihat kanak-kanak perempuan itu kerana dia kelihatan tidak sabar untuk menerima piza yang dipesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Faiz kemudian bertanya kepada kanak-kanak itu di mana abangnya dan ahli keluarga lain kerana pesanan terbabit dibuat oleh pelanggan lelaki.

"Menurut kanak-kanak perempuan itu, bapanya bekerja manakala ibunya tiada di rumah sebelum memanggil abangnya untuk keluar.

"Bagi mendapatkan kepastian, saya tanya adakah wang syiling diberi itu cukup dan kanak-kanak lelaki terbabit yang berusia lingkungan 12 tahun mengangguk selain mengatakan sudah mengiranya.

"Saya kemudian beredar dan berhenti di sebuah stesen minyak untuk menukar wang itu namun tidak cukup iaitu hanya ada RM18 sahaja selepas dikira semula," katanya yang juga anak kedua daripada lima beradik.

Mohammad Faiz yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam Universiti Malaysia Sabah berkata, dia sengaja menghantar kiriman mesej kepada pelanggannya itu bagi bertanya mengenai bayaran yang tidak cukup.

"Niat saya menghantar WhatsApp adalah untuk mengusik adik itu kerana mahu lihat reaksinya dan turut berpura-pura memberitahunya yang saya mahu membuat laporan polis.

"Disebabkan takut dan bimbang perkara itu diketahui bapanya, adik itu minta saya datang semula ke rumahnya dan mengambil wang RM15 iaitu lebih daripada sepatutnya sebagai upah termasuk dengan caj penghantaran.

"Namun saya menolak dan halalkan sahaja wang itu selepas dia bersungguh-sungguh meminta maaf dan memberitahu membuat pesanan kerana teringin sangat untuk makan piza.

"Pertemuan dengan dua beradik itu membuatkan saya tersentuh dan pada masa sama kagum dengan mereka yang mungkin sanggup menyimpan wang untuk membeli apa dihajati," katanya yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan sejak Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 2:21 PM