Mohd Khidir Zakaria


Jelebu: Biarpun menumpang di tanah milik orang sejak 60 tahun lalu, Lim Tiap Beng, 81, yang digelar 'Kapitan Jelebu' selesa hidup sendirian mengisi hari tuanya di pondoknya yang dibina sendiri di Kuala Klawang di sini.

Tiap Beng berkata, dia tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun masih ada anak saudara yang kerap melawatnya di sini.

"Saya sudah lama tinggal di sini, menumpang di tanah milik orang Melayu sejak 60 tahun lalu. Mereka baik hati dan yang penting, saya selesa tinggal di sini kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga.

"Selain anak saudara, saya masih ada kakak berusia 85 tahun dan tidak pernah berkahwin, hanya bergantung dengan bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya di temui.

Katanya, dia pernah ditawarkan tinggal di rumah orang tua tetapi menolak kerana lebih selesa tinggal di pondok usang itu walaupun dalam serba kekurangan.

"Yang penting saya 'happy' (gembira) tinggal di sini, tuan tanah sudah izinkan malah sudah 60 tahun tinggal di sini, saya sangat gembira dan senang hati namun saya faham, mereka bimbang jika sesuatu berlaku kepada saya kerana tinggal berseorangan.

"Anak saudara saya juga kerap datang membawa makanan dan mereka masih ambil peduli tentang saya, cuma saya tidak mahu membebankan sesiapa," katanya selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9).

Tiap Beng berkata, dia masih menggunakan perigi sebagai sumber air dan pondoknya tiada kemudahan elektrik.

"Bagi saya apa yang ada sudah lebih daripada mencukupi, tambahan pula saya terima bantuan daripada JKM setiap bulan. Ia cukup buat kegunaan saya.

"Di sini, semua orang panggil saya Kapitan Jelebu, sebut saja Kapitan Jelebu, orang tahu itu adalah saya. Saya ada ramai kawan dari semua bangsa, mereka suka menegur saya jika berjumpa," katanya.

Perigi digunakannya sudah berusia lebih 40 tahun dan digali sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9 Norfadilah Mansor berkata, dia seronok dapat berbual dengan Kapitan Jelebu.

"Kapitan Jelebu cukup ceria, dia tidak sedikit pun mengeluh malah amat bersyukur tinggal di sini.

"Paling saya kagum, kawasan sekeliling pondoknya cukup bersih. Saya juga bersyukur dan memuji sikap tuan tanah yang setiap tahun akan menziarahnya setiap kali Aidilfitri," katanya.

Katanya, Perkasih N9 memberi sumbangan barangan makanan, dapur gas, tuala dan selimut untuk kegunaan seharian Kapitan Jelebu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:49 PM
Warga emas, Lim Tiap Beng, 81, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Kapitan Jelebu' selesa tinggal seorang di pondoknya menumpang di tanah milik orang sejak 60 tahun lalu di Kuala Klawang, Jelebu. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Warga emas, Lim Tiap Beng, 81, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Kapitan Jelebu' selesa tinggal seorang di pondoknya menumpang di tanah milik orang sejak 60 tahun lalu di Kuala Klawang, Jelebu. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA