GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang Datuk Bakri Sawir menafikan laporan sebuah portal berita mengenai seorang lelaki Cina, Lim Tiap Beng, 81, atau dikenali Kapitan Jelebu yang mahu bekalan elektrik ke rumahnya menjelang Tahun Baru Cina.

Bakri berkata, laporan berkenaan tidak benar dan siasatan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati warga emas berkenaan tidak pernah memohon dengan agensi itu bagi mendapatkan bekalan elektrik.

Katanya, rumah dikatakan menjadi tempat tinggal lelaki itu hanya rumah persinggahan dan dibina di atas tanah rizab taman permainan kanak-kanak di bawah kawalan Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu (MDJ).

" Pihak TNB juga sudah mendengar penjelasan sebenar lelaki itu yang hanya menjadikan rumah itu sebagai lokasi persinggahan.

" Lelaki itu tidur serta makan minum di rumah kakaknya di taman perumahan berhampiran," katanya ketika ditemui di rumah lelaki berkenaan di Kuala Klawang, hari ini.

Bakri bersama kakitangan TNB turut menyampaikan sumbangan makanan kepadanya sempena Tahun Baharu Cina.

Bakri berkata, TNB turut menawarkan pemasangan bekalan namun ditolak kerana tidak tinggal secara tetap di rumah itu.

Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan berkata, siasatan TNB mendapati sebuah parti politik sebelum ini turut mahu membantunya memasang bekalan elektrik turut ditolak oleh lelaki itu dengan alasan sama.

" Kita sudah turun padang melihat situasi sebenar dan berharap mana-mana portal berita lebih berhati-hati melaporkan sesuatu berita bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Sementara Tiap Beng berkata, dia hanya menjadikan rumah berkenaan sebagai rumah persinggahan disebabkan tinggal di rumah kakaknya.

Katanya, sambutan Tahun Baharu Cina disambut bersama kakak dan anak saudara berikutan tidak mempunyai anak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 4:04 PM