GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Haidya Syafira Amir


KUALA LUMPUR: Pelajar yang menghadapi kesukaran mendapat liputan Internet wajar memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdapat di seluruh negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, 873 PIK yang dibiayai oleh SKMM mempunyai kelengkapan ICT, capaian Internet laju dan petugas sepenuh masa.

"Setiap PIK dilengkapi 20 komputer, liputan WiFi dan ruang pendingin udara untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

"Pengurus PIK boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian," katanya.

Sementara itu, SKMM berkata, pegawainya berjumpa dengan keluarga pelajar yang terpaksa belajar di khemah di atas bukit di belakang rumahnya akibat liputan lemah.

"Menurut pemantauan di rumah pelajar berkenaan, SKMM mengesahkan

liputan jalur lebar mudah alih di kawasan itu lemah kerana lokasi kedudukan kampung agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada dan terlindung disebabkan oleh keadaan muka bumi berbukit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SKMM menyediakan menara pemancar mini dan merancang untuk menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5 kilometer dari kampung itu.

"Sementara menunggu langkah naik taraf diselesaikan, SKMM menggesa pelajar di kawasan berkenaan untuk memanfaatkan kemudahan PIK yang terletak di PIK Kusial Bharu yang terletak 3.5 kilometer dari rumah pelajar itu.

"Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 10:50 AM