Pusat Internet Komuniti.
Pusat Internet Komuniti.
Amir Abd Hamid


Cyberjaya: Selaras pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan industri telekomunikasi berganding bahu memudahkan capaian Internet untuk golongan pelajar serta B40.

Antaranya, untuk memberikan kemudahan kepada golongan berkenaan khususnya yang mendiami kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), kerajaan dan syarikat telekomunikasi bersetuju melanjutkan tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti (PIK) di kawasan PPR di seluruh negara.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, PIK akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari kecuali pada cuti umum sehingga hujung April ini.

"Langkah ini diharap dapat membantu isi rumah dan pelajar terutamanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 untuk mengikuti pembelajaran

"Mereka juga boleh melakukan urusan harian secara dalam talian dengan murah dan selesa di PIK," katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Sehingga kini, terdapat 54 PIK dengan 17 daripadanya berada di Wilayah Persekutuan dan baki 37 PIK berada di negeri lain.

Pada masa sama, menurut SKMM, sejumlah 130 PPR di seluruh negara juga dikenal pasti untuk menerima akses jaringan tanpa wayar (WiFi) percuma yang dipasang syarikat telekomunikasi utama.

Katanya, sehingga kini WiFi percuma di 121 PPR sudah beroperasi manakala baki sembilan lagi dijangka menerima kemudahan sama pada 5 Februari depan.

"Ia dilaksanakan bagi merangsang keupayaan penduduk PPR menggunakan platform dalam talian untuk meningkatkan kegiatan ekonomi, peka dengan perkembangan semasa dan menambah kemahiran.

"Dengan kemudahan dan keistimewaan ini, kami berharap penduduk PPR, pelajar dan seluruh rakyat dapat memanfaatkannya ke arah meningkatkan pencapaian akademik serta menjana pendapatan tambahan menerusi

aktiviti perniagaan dalam talian.

"Inisiatif ini juga adalah sebahagian usaha SKMM untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat yang kurang berkemampuan supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan berasaskan teknologi digital," katanya.

Sementara itu, syarikat YTL Communications Sdn Bhd (YTL) turut melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April ini dengan turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Melalui pakej PERMAI yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini, beberapa inisiatif melalui sektor telekomunikasi turut dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat ketika mengharungi tempoh mencabar berikutan langkah kawalan Covid-19.

Ia termasuklah pemberian data percuma 1GB sehari yang dimulakan oleh syarikat telekomunikasi utama sejak April 2020 dilanjutkan sehingga hujung April ini dengan kos mencecah RM500 juta bagi tahun ini sahaja.

SKMM berkata, selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki SPM, STPM dan penuntut IPT turut dilaksanakan sejak 6 Januari lalu hingga akhir April ini.

Katanya, pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM) ini menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

"Menyedari kepentingan pendidikan untuk menjamin masa depan rakyat dan negara, syarikat telekomunikasi sebelum ini juga menyediakan kelas tuisyen dalam talian secara percuma sepert 'Tuisyen Rakyat' oleh Celcom, 'Jom Tuisyen' (Celcom); 'e-Kelas' (Maxis) dan 'I-Learn Ace' (Telekom Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 4:42 PM