Muhammad Saufi Hassan

Bagi memudahkan pengguna terutamanya untuk pembelajaran atas talian, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menyediakan WiFi 4G percuma di 12 Program Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa negeri.

Ia termasuk di Perlis, Perak, Terengganu, Melaka dan Johor dalam usaha membantu memudahkan urusan pembelajaran dalam talian bagi pelajar dalam kalangan komuniti B40 hingga akhir April ini.

Berikutan penutupan sekolah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akses Internet percuma yang disediakan oleh Digi di PPR ini membolehkan ribuan pelajar mengikuti kelas dalam talian melalui program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sebelum ini, syarikat telekomunikasi berkenaan memasang penghala tanpa wayar (WiFi) di kemudahan awam dalam kawasan PPR seperti perpustakaan komuniti, bilik pejabat dan surau, bagi memastikan pelajar B40 mempunyai akses kepada Internet berkelajuan tinggi yang berkualiti untuk mengikuti sesi kelas dalam talian tanpa sebarang gangguan.

Pada masa sama, 11 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang dikendalikan oleh Digi di Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor juga melanjutkan waktu operasinya jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Ia membolehkan pelajar boleh menggunakan kemudahan serta peranti di PIK bagi pembelajaran dalam talian, dan ini dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat.

Sejak awal tahun ini, lebih 150 sesi Jom Tuisyen yang memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan di PIK.

Semua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Digi untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan bantuan kemudahan internet kepada isi rumah B40, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 3:24 PM