Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Hanya menggunakan jaring, buluh dan tali untuk menghasilkan pukat tarik yang dimanfaatkan ketika musim banjir.

Che Omar Che Mat, 66, berkata, aktiviti memukat itu dilakukannya hampir setiap kali banjir dengan pukat dipasang di kawasan air deras.

Katanya, cara itu juga dikenali 'mencandit' apabila pukat dilepaskan dan diikat kemas pada dua buluh, sebelum ditinggalkan selama dua jam.

"Biasanya saya akan mencandit seawal jam 7 pagi hingga 8 malam dan akan berulang alik ke kawasan pukat dilepaskan untuk melihat hari tangkapan pada setiap dua jam.

"Tak boleh dibiar lama kerana ikan boleh mati dan busuk. Dalam sehari, bolehlah dapat lima ke lapan kilogram ikan pelbagai jenis seperti haruan, sepat, keli, baung dan puyu," katanya ketika ditemui sedang memasang pukat tarik di Kampung Siram di sini.

Menurut Che Omar, dia melakukan aktiviti itu ketika banjir kerana minat selain gembira memperoleh tangkapan yang kemudian dijadikan juadah seisi keluarga.

Katanya, dia biasanya dibantu anak, Mohammad Syaraffuddin, 31, dan mereka mengutamakan keselamatan terutama ketika menarik pukat yang memerlukan kudrat.

CHE Omar dan anaknya menarik pukat yang dilepaskan di kawasan banjir. FOTO Syaherah Mustafa.
CHE Omar dan anaknya menarik pukat yang dilepaskan di kawasan banjir. FOTO Syaherah Mustafa.

"Tak ramai yang melakukan pukat tarik berbanding memancing atau menjala kerana ia agak rumit, tetapi saya teruskan juga kerana minat selain untuk memastikan ia tidak dilupakan oleh generasi baru," kata datuk kepada 20 cucu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 10:45 AM