Syaherah Mustafa

Pasir Mas: "Alhamdulillah, sekarang saya bersemangat untuk meneruskan kehidupan malah berasa lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai," luah Che Halimah Che Mood, 62.

Che Halimah adalah warga emas wanita yang bermisai dan berjanggut susulan mempunyai kadar hormon testosteron yang tinggi selain menderita akibat lumpuh separuh badan kerana serangan angin ahmar.

Dia mengakui hidupnya seperti menerima suatu aura kekuatan yang baru sebaik kisah kehidupannya dipaparkan di media baru-baru ini, apabila membaca komen positif rakyat Malaysia yang memberi kata-kata semangat.

"Malah, tidak kurang juga yang tampil membantu memandangkan saya hanya menumpang kasih adik, Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isterinya, Nur Asmira Che Hussin, 36. Saya menerima sumbangan kipas, susu khas dan bekalan lauk basah daripada individu yang baik hati melalui Yayasan Raja Shamri (YRS).

"Selain itu, adik ipar, Nur Asmira sering membacakan komen positif netizen kepada saya selain ada golongan wanita yang mengakui turut mengalami masalah pertumbuhan misai dan janggut seperti ini.

"Besar hati ini untuk menasihatkan golongan yang senasib dengan saya agar mereka tidak mudah berasa rendah diri, sebaliknya menganggap apa yang terjadi sebagai suatu keistimewaan buat kita," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Karang, di sini, semalam.

CHE Halimah mencukur dua kali seminggu supaya wajah bersih dan terjaga. FOTO Syaherah Mustafa
CHE Halimah mencukur dua kali seminggu supaya wajah bersih dan terjaga. FOTO Syaherah Mustafa

Pada 31 Ogos lalu, media melaporkan kisah Che Halimah yang dibelenggu masalah pertumbuhan misai dan janggut seperti seorang lelaki, sedangkan dia adalah wanita tulen, malah kisahnya mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat di seluruh negara.

Che Halimah juga beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, yang sentiasa mengunjunginya untuk menyampaikan amanah penyumbang bagi meringankan beban hidupnya selain dapat membantu adik yang hanya bekerja mengambil upah memotong rumput.

"Tak sangka besar juga kesan penceritaan melalui media. Saya sekarang lebih kuat malah sudah mula berani untuk berengsot dan bangun sendiri daripada tidur berbanding sebelum ini yang hanya terbaring tidak bermaya.

"Ini juga mungkin berkat doa orang ramai yang membuatkan saya lebih kuat, hanya Tuhan sahaja yang boleh membalas segala jasa baik semua," katanya yang mula menganggap apa yang terjadi sebagai ujian buat dirinya.

Tambahnya, dia masih menjalankan rutin mencukur dua kali seminggu supaya wajahnya kelihatan lebih bersih dan terjaga.

Berita berkaitan:

  • 'Saya wanita tulen' [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 10:54 AM