SULAIMAN (tengah duduk) ketika melancarkan Melaka Visit Melaka Packages 2.0 dan Zoo Melaka Tunnel di Ayer Keroh sebentar tadi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SULAIMAN (tengah duduk) ketika melancarkan Melaka Visit Melaka Packages 2.0 dan Zoo Melaka Tunnel di Ayer Keroh sebentar tadi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan domestik, kerajaan negeri Melaka melancarkan program 'Melaka Visit Melaka Packages 2.0' sebagai platform utama bagi mempromosikan negeri bersejarah terbabit.

Kempen itu bertujuan merealisasikan sasaran 5.6 juta pelancong berdasarkan saranan Organisasi Pelancongan Dunia (UNWTO), walaupun seluruh dunia terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sehingga Jun lalu, Melaka berjaya menarik lebih 3 juta pelancong dengan jumlah 13 sub-sektor pelancongan.

Beliau berkata, pelbagai pengiktirafan diterima termasuk Travellers' Choice Winner 2020 iaitu pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

"Saya percaya, dengan pencapaian dan perancangan termasuk kempen mempromosi Melaka melalui tagline Melaka Is The Place To Be! di samping beberapa pendekatan baharu lain, kita boleh mengangkat industri pelancongan ke tahap paling tinggi, sekali gus mencapai sasaran pelancong tahun ini.

"Apa yang penting, program ini sebenarnya khas buat rakyat Melaka untuk melawat tempat menarik dengan kadar diskaun sehingga 50 peratus berbanding harga biasa.

"Syarat utama, mereka mestilah pemegang kad pengenalan 04/30 atau mempunyai alamat di Melaka," katanya selepas melancarkan 'Melaka Visit Melaka Packages 2.0' dan Zoo Melaka Tunnel di Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa'ari Basiron.

Sulaiman berkata, 18 pengusaha produk pelancongan turut serta dalam promosi terbabit antaranya Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Ghost Muzium Melaka, PERZIM, Mini Malaysia dan Asean Cultural Park.

Beliau berkata, turut dilancarkan pakej penginapan dua hari satu malam di lebih 57 premis penginapan membabitkan hotel bertaraf lima hingga tiga bintang, hotel bajet, chalet, resort dan inap desa dengan diskaun sehingga 30 peratus yang sah sehingga 28 Februari 2022.

Selain itu, katanya, pakej golf di empat pusat golf terkemuka di Melaka turut ditawarkan khas buat pemain golf dengan harga bermula RM98.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:29 PM