Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Pematuhan kepada penjarakan fizikal dalam membendung wabak Covid-19 menjadi cabaran utama bagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam operasi pemindahan mangsa banjir menggunakan bot dan lori terutama membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang operasi berkenaan dijalankan.

"Kalau penjarakan fizikal dikuat kuasakan, mungkin hanya dua atau tiga mangsa sahaja dapat dipindahkan dalam satu-satu masa menggunakan sebuah bot yang pada asalnya bot itu memuatkan sehingga lapan mangsa.

"Namun, sudah tentu SOP lain sperti pemakaian pelitup muka, bahkan pelindung muka serta lain-lain tetap menjadi keutamaan sewaktu operasi dijalankan.

"Cabarannya (kerana) walaupun kita ada bilangan bot mencukupi, namun ianya digerakkan untuk rondaaan di seluruh kampung (penempatan). Tambahan pula bagi sesetengah kawasan, bot kecil terpaksa digunakan atas beberapa faktor seperti kedalaman air serta keluasan jalan atau lorong," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Persediaan Banjir APM Perak serta majlis penyerahan sumbangan dron oleh Pegawai Bersekutu APM Taiping di Pejabat APM Daerah Taiping, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Roslan menyempurnakan penyerahan satu unit dron bernilai kira-kira RM12,000 untuk kegunaan anggota APM Perak.

Turut hadir, Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji.

Ditanya kekuatan anggota dalam persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut dalam pada menghadapi ancaman Covid-19, Roslan berkata, jumlah keanggotaan daripada ahli aktif APM seluruh negara seramai lebih 20,000 sukarelawan adalah mencukupi.

Katanya, bagaimanapun keperluan menambah keanggotaan bagi anggota perjawatan tetap masih ada memandangkan bilangan anggota berkenaan yang ditempatkan di pejabat APM daerah berada di tahap minimum.

"Kita banyak bergantung kepada sukarelawan. Namun untuk hal perjawatan tetap, ianya di luar kawalan kami memandangkan ia tertakhluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Walaupun APM hanya mempunyai 20,000 ahli aktif daripada keseluruhan 2.2 juta ahli berdaftar seluruh negara, namun ahli selebihnya turut berkhidmat secara 'on-off' (tidak menentu) berikutan terikat dengan perkara lain seperti jadual pekerjaan hakiki mereka," katanya.

Katanya, secara keseluruhan APM mempunyai kira-kira 900 bot terdiri daripada pelbagai jenis dan saiz selain kenderaan berat seperti lori dan trak yang boleh meredah air dengan kedalaman sehingga 1.5 meter.

"Cabaran juga datang apabila terdapat anggota sukarelawan APM tidak cukup mahir khususnya dalam tugas-tugas menyelamat. Mereka ini diberikan tugas menyelenggara ketika di pusat pemindahan," katanya.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Roslan Wahab (tiga dari kiri) menyerahkan dron bernilai kira-kira RM12,000 yang disumbangkan APM Daerah Taiping kepada Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel Zairil Anuar Zulmuji (tiga dari kanan) bagi kegunaan APM Negeri Perak untuk sebarang operasi mendatang. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Roslan Wahab (tiga dari kiri) menyerahkan dron bernilai kira-kira RM12,000 yang disumbangkan APM Daerah Taiping kepada Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel Zairil Anuar Zulmuji (tiga dari kanan) bagi kegunaan APM Negeri Perak untuk sebarang operasi mendatang. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 3:00 PM