SHAHRUL Riedzuan (tengah) menerima wang tunai RM200 daripada Effendy sambil diperhatikan Timbalannya, Mejar Kamarulsyah Muslim di Pejabat APM negeri di Ayer Keroh, hari ini. FOTO ihsan APM
SHAHRUL Riedzuan (tengah) menerima wang tunai RM200 daripada Effendy sambil diperhatikan Timbalannya, Mejar Kamarulsyah Muslim di Pejabat APM negeri di Ayer Keroh, hari ini. FOTO ihsan APM
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: "Alhamdulillah, syukur atas sumbangan ini. Saya akan simpan duit ini untuk kegunaan masa depan," kata anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Shahrul Riedzuan Abd Rahman yang menerima sumbangan RM200 menerusi Tabung Kebajikan Pertahanan Awam (TAPA) hari ini.

Shahrul Riedzuan, 24, yang berkhidmat di Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah berkata, dia menerima bantuan itu selepas cedera di jari kelingking kanan akibat terkena taring ular ketika bertugas tahun lalu.

Katanya, dalam kejadian 15 Julai itu, dia bersama beberapa anggota mahu melepaskan seekor ular tedung hitam yang ditangkap ke habitatnya.

"Saya memang guna sarung tangan. Malangnya masa keluarkan ular itu dari guni tiba-tiba jari kelingking tersangkut taring dan berdarah.

"Akibatnya saya terpaksa ditahan dua hari di wad Hospital Alor Gajah kerana bisa ular berkenaan," katanya yang menyifatkan kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti dalam APM.

Sumbangan disampaikan Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali di pejabatnya di sini.

Shahrul Riedzuan antara empat anggota APM Alor Gajah yang menerima bantuan TAPA akibat kemalangan ketika bertugas tahun lalu.

Anggota lain ialah Leftenan Muda (PA) Rosniza Mansor, 39, yang cedera jari kelingking akibat tersepit pada ambulans pada 5 April dan Leftenan Muda (PA) Amidah Puteh, 41, serta prebet (PA) Ahmad Ab Malek 46, masing-masing terkena sengatan tebuan ketika memusnahkan sarang serangga berbisa itu pada 3 November lalu.

Rosniza menerima RM200, manakala Amidah dan Ahmad masing-masing RM100.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Alor Gajah, Kapten Aljibin Suddin berkata, kewujudan TAPA membuktikan keprihatinan APM kepada kebajikan anggota sukarelawan.

"Isu kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan APM. Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab sendiri turut mengambil inisiatif dengan melancarkan tabung buluh bagi mengumpul dana TAPA.

"Tabung ini diletakkan di setiap pejabat APM negeri serta daerah dan orang ramai juga boleh menyumbang," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya menekankan prosedur operasi standard kepada setiap anggota ketika mengambil sesuatu kes, bagi meminimumkan risiko kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:06 PM