Roslan (kanan) menyampaikan risalah banjir kepada pegawai APM daerah untuk diagihkan kepada penduduk di majlis Perhimpunan Setia APM Terengganu di Kuala Nerus hari ini. Foto Imran Makhzan
Roslan (kanan) menyampaikan risalah banjir kepada pegawai APM daerah untuk diagihkan kepada penduduk di majlis Perhimpunan Setia APM Terengganu di Kuala Nerus hari ini. Foto Imran Makhzan
Baharom Bakar


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) menambah 500 bot baru sebagai persiapan menghadapi bencana banjir di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata, bot baru itu sudah diagihkan kepada semua APM negeri untuk digunakan bagi melaksanakan misi menyelamat sepanjang musim tengkujuh.

Menurutnya, walaupun bencana banjir dijangkakan tidak seteruk seperti yang berlaku pada 2014 tetapi kesiapsiagaan anggota termasuk aset sudah dilakukan.

“Jumlah bot yang akan digunakan untuk kerja menyelamat jika berlaku bencana banjir adalah sebanyak 1,184 termasuk 500 yang baru diterima daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Setia APM Terengganu di Kuala Nerus hari ini.

Hadir sama Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Jika aset milik APM tidak mencukupi, Roslan berkata, kerja menyelamat akan turut menggunakan aset dimiliki agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Jika aset itu masih tidak mencukupi, kita juga akan meminta pelbagai kenderaan termasuk lori daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan pegawai dan anggota APM, Roslan memaklumkan seramai 12,000 pegawai dan anggota termasuk sukarela sudah bersiapsiaga menghadapi banjir.

“Seramai 3,000 anggota sudah diarah bersiapsiaga membantu mangsa pada dua jam pertama bencana banjir berlaku dan kekuatan akan ditambah kepada 7,000 orang selepas empat jam berikutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 8:37 PM