PENDUDUK mengambil inisiatif meninggikan halaman rumah susulan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Jeram. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
PENDUDUK mengambil inisiatif meninggikan halaman rumah susulan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Jeram. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penduduk Kampung Sungai Janggut, Jeram, di sini, mengambil langkah berjaga-jaga termasuk membina tembok baharu dan meninggikan halaman rumah untuk mengelakkan daripada dilanda fenomena air pasang besar.

Bagi Abdul Talib Mohamad Sarip, 76, dia mengambil inisiatif membina tembok dan membaiki lantai yang rosak sejak September lalu.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelakkan kerugian lebih besar selain menyelamatkan peralatan elektrik dan perabot milik mereka.

"Hari ini, tiada limpahan (air pasang besar) berlaku. Kesempatan itu saya ambil dengan membaiki lantai yang rosak dan membina tembok.

"Walaupun ban di pesisir laut berdekatan rumah sudah dibaiki kira-kira sebulan lalu, saya tetap berwaspada dan mengambil kira setiap arahan daripada pihak berwajib," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, walaupun fenomena air pasang besar dijangka berakhir esok, dia tetap bimbang ia akan berulang susulan musim tengkujuh yang akan tiba tidak lama lagi. Seorang lagi penduduk, Mohd Helmi Husin, 48, berkata, rumahnya yang berhampiran laut sudah dinaiki air dua kali tahun ini.

"Bulan lalu, saya sekeluarga terpaksa tidur di dalam kereta adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

"Setakat ini, kami masih boleh bertahan dan percaya kepada ban yang dibaiki pihak berkuasa," katanya.

Media melaporkan air pasang besar mencatatkan paras 5.6 meter pada jam 5.44 pagi, hari ini.

Fenomena ini dijangka berakhir esok pagi dengan ketinggian paras air laut pada 5.6 meter pada 6.25 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 3:38 PM