MAS Ayraa Qursiah (kiri) bersama adiknya mengemas barang sebaik tiba di pusat perpindahan mangsa banjir di Dewan Palembang, Kapar.
MAS Ayraa Qursiah (kiri) bersama adiknya mengemas barang sebaik tiba di pusat perpindahan mangsa banjir di Dewan Palembang, Kapar.
Nur Izzati Izzah Nadzi


Klang: Ratusan penduduk di Kapar di sini, memenuhi pusat pemindahan mangsa bencana sebagai persediaan menghadapi banjir berikutan ramalan fenonema air pasang besar dijangka berlaku di kawasan itu pagi ini.

Semalam, 202 orang daripada 45 keluarga mula mendaftar masuk ke Dewan Kampung Tok Muda, manakala 95 orang daripada 20 keluarga berpindah ke Dewan Orang Ramai Jalan Palembang yang dibuka bermula jam 2 petang semalam.

Tinjauan mendapati penduduk sibuk mengalihkan barangan ke tempat tinggi dalam rumah dan mereka hanya membawa dokumen penting serta pakaian.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Borhanudin Padlul berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pendaftaran mangsa meningkat secara berperingkat.

“Mereka perlu segera berpindah ke pusat pemindahan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kediaman dinaiki air ketika fenomena air pasang yang dijangka pada 5.30 pagi esok (hari ini).

“Kita bersama agensi penyelamat lain bagaimanapun akan menyalurkan maklumat lanjut kepada penduduk sehingga ramalan fenomena itu berakhir,” katanya.

Seorang penduduk, Nor Nairul Nizam Aynor, 46, kawasan kediamannya berdekatan dengan ban yang pernah pecah di Kampung Batu 5, sebelum rumahnya terjejas teruk.

“Kami mengambil keputusan berpindah lebih awal bagi mengelak kejadian sama berulang yang mengakibatkan beberapa barangan rumah rosak akibat dinaiki air.

“Saya cuma berharap kejadian ini tidak seteruk seperti terdahulu dan ban yang dibaiki mampu menahan aliran air laut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir dan pemantauan berterusan akan dilakukan di kawasan yang dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:06 AM