Tentera memasang kawat duri sempena PKPD  di  kawasan  perniagaan Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO Samadi Ahmad
Tentera memasang kawat duri sempena PKPD di kawasan perniagaan Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Sepang: Beberapa laluan masuk ke kawasan perniagaan Bandar Baru Salak Tinggi mulai ditutup, dipercayai menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi itu, bermula tengah malam ini.

Tinjauan mendapati, beberapa laluan itu mulai ditutup dengan penghadang bongkah konkrit jam 6 petang tadi manakala beberapa trak dipercayai membawa anggota tentera dilihat memasuki kawasan berkenaan untuk memasang kawat berduri.

Operasi penutupan jalan itu diketuai, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Wan Kamarul berkata, kawasan berkenaan disyaki terbabit dengan satu kluster jangkitan Covid-19 dari Sabah, Bah Medan.

Menurut beliau, pengumuman perlaksanaan PKPD itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka melawat kawasan itu pagi esok bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, seramai 100 anggota polis ditempatkan bagi mengawal kawasan sekeliling premis perniagaan di situ ketika ini, namun pihaknya belum mendapat jumlah sebenarnya petugas pasukan keselamatan termasuk anggota tentera yang dikerahkan.

Berdasarkan pemerhatian, rata-rata bilik dan unit kediaman di kawasan perniagaan itu didiami warga asing yang bekerja di kawasan berhampiran dan mereka dilihat kekal berada di kediaman masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 9:21 PM