Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kawasan susulan masih berlaku peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan PKPD berkenaan masing-masing di Pangsapuri Mutiara Kasih, Taman Khazanah Indah dan Kampung Sabah Baru di Lahad Datu, Sabah.


Menurutnya, PKPD di kawasan berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 23 November ini.


"Selain itu, PKPD juga akan dilanjutkan di Plaza Hentian Kajang dan Putra Point, Nilai sehingga 24 November ini.


"Satu lagi kawasan yang akan dilanjutkan PKPD adalah Kampung Haji Baki di Kuching sehingga 24 November namun sekiranya keputusan saringan bagi kawasan ini diperoleh lebih awal dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada kes positif maka PKPD akan ditamatkan lebih awal," katanya dalam sidang media, hari ini.


Beliau berkata, perlanjutan PKPD di lima kawasan berkenaan dibuat selepas mesyuarat yang dijalankan hari ini dan penilaian risiko oleh KKM kerana masih ada kes positif direkodkan.

Katanya, kerajaan menasihatkan penduduk di kawasan PKPD agar terus bertenang dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

PENDUDUK menunggu giliran untuk melakukan saringan Covid-19 di Plaza Hentian Kajang, Jalan Reko yang terbabit dengan PKPD. FOTO arkib NSTP
PENDUDUK menunggu giliran untuk melakukan saringan Covid-19 di Plaza Hentian Kajang, Jalan Reko yang terbabit dengan PKPD. FOTO arkib NSTP

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) pernikahan yang akan digunakan sepanjang tempoh PKPB di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, negeri lain adalah tertakluk kepada kebenaran Sultan dan pihak berkuasa agama namun disarankan untuk mengikuti SOP yang diperkenalkan nanti.

"Pernikahan masih dibenarkan di pejabat agama Islam namun tiada majlis perkahwinan sepanjang PKPB ini.

"Bagi penganut agama lain, mereka masih boleh mendaftarkan perkahwinan di pejabat pendaftaran perkahwinan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 6:25 PM