Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Penjara Sandakan serta Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, Sabah bermula esok hingga 19 November depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini turut mendengar pembentangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah berkaitan situasi semasa kes positif Covid-19 sebelum bersetuju melaksanakan PKPD di dua kawasan itu.

Menurutnya, sehingga semalam, saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di PTS Tawau merekodkan sebanyak 440 kes positif Covid-19 membabitkan tahanan dan kakitangan.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD berkuatkuasa esok sehingga 19 November ini.

"PKPD ini akan membabitkan 1,707 individu terdiri daripada 1,603 tahanan dan 104 kakitangan di mana pelaksanaan PKPD bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan secara bersasar kepada tahanan dan kakitangan di pusat tahanan sementara ini," katanya pada sidang media harian Covid- 19, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi PKPD Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira pula sehingga hari ini, KKM sudah melaksanakan 669 saringan dan merekodkan 111 kes positif Covid-19 di Penjara Sandakan.

"Pelaksanaan PKPD ini membabitkan seramai 1,605 individu yang merangkumi 1,308 orang tahanan dan 297 orang kakitangan," katanya.

Beliau berkata, PKPD di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu disambung lagi bermula 7 November hingga 20 November ini.

Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. FOTO BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 5:48 PM