PENGUATKUASA Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, merampas  pelbagai jenama rokok di sebuah kedai di Sibiyu, Bintulu.  FOTO Ihsan JKDM
PENGUATKUASA Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, merampas pelbagai jenama rokok di sebuah kedai di Sibiyu, Bintulu. FOTO Ihsan JKDM
Erika George


RAHSIA sebuah premis di Jalan Sibiyu di Bintulu, terbongkar apabila serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Bintulu, pagi semalam menemukan rokok dan minuman keras seludup.

Serbuan kira-kira 10 pagi itu sekali gus menyaksikan rampasan 115,000 batang rokok putih, 79,360 batang rokok kretek dan 29 liter minuman keras membabitkan cukai bernilai RM132,218.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dipercayai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis menjumpai stok simpanan rokok dan minuman keras terbabit yang diletakkan pada tingkat bawah dan tingkat satu bangunan premis.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua barangan rampasan bernilai RM13,985 itu belum lulus kastam dan dipercayai disembunyikan dalam premis terbabit sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan," katanya.

Menurutnya, hasil risikan awal mendapat modus operandi yang digunakan oleh pemilik atau penjaga premis bagi mengaburi mata pihak berkuasa ialah bahagian hadapan premis sentiasa ditutup dan hanya dibuka sekiranya dikunjungi pembeli.

"Kita tidak menolak kemungkinan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok ini didalangi lebih dari seorang individu dan siasatan terperinci sedang dilakukan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang jika disabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai barang atau RM100, 000, atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-keduanya sekali.

"Saya berharap masyarakat sentiasa peka dengan sebarang kegiatan yang mencurigakan di sekeliling mereka terutama aktiviti penyeludupan rokok serta minuman keras dengan menghubungi talian bebas tol kastam di 1-800-88-8855," katanya.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 3:00 PM