GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Banyak perancangan kerajaan pada tahun ini tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Justeru, ia juga memberi impak kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pastinya masyarakat mengharapkan sesuatu yang terbaik dalam belanjawan itu nanti tetapi perlu berpijak di bumi nyata terutama apabila negara dan dunia masih lagi berhadapan dengan Covid-19.

"Banyak perkara dirancang dan diharapkan berlaku pada 2020 memberi impak secara langsung terutama dalam kontek ekonomi, politik dan sosial.

"Sebagai pakar sosial saya bersetuju teori keseimbangan sosial dan fizikal perlulah dicapai dalam sesebuah negara untuk memastikan kestabilan politik serta ekonomi.

"Tanpa keseimbangan sosial, ekonomi dan fizikal pastinya sesebuah negara menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan tidak menentu," katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, belanjawan kali ini diharapkan supaya kerajaan mengambil kira dan mengimbangkan pembangunan fizikal, sosial dan kesejahteraan terutama keharmonian yang dicapai untuk dibawa ke tahun mendatang.

"Bagaimanapun, kita berharap masyarakat menyedari realiti dan senario dihadapi kerajaan hari ini sejak pandemik berlaku awal tahun ini banyak perkara dirancang terutama membabitkan ekonomi tidak dapat dilaksanakan.

"Ia sekali gus memberi kesan ketara terutama dalam sektor ekonomi iaitu pendapatan negara dan masyarakat.

"Begitu juga situasi emosi dan sosial dihadapi masyarakat tidak menentu, tetapi kita terpaksa pijak di bumi nyata dan jangan mengharapkan bulan bintang dalam keadaan sekarang ini.

"Beri kerjasama kepada kerajaan supaya mereka dapat melakukan yang terbaik supaya kita bebas daripada bencana ini," katanya.

Katanya, apa yang penting ketika ini bersama-sama memastikan keharmonian, kedamaian dan kestabilan dicapai hari ini dikekalkan.

"Ia penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur datang ke negara ini sekali gus meningkatkan ekonomi negara dan memperkukuhkan jaringan sosial.

"Saya yakin kerajaan sudah memikirkan yang terbaik untuk negara pada 2021 dan kita bersatu menyokong dasar dilaksanakan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 2:55 PM