Antara penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan polis. FOTO IHSAN POLIS
Antara penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan polis. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tindakan sembilan lelaki yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan berasingan, awal pagi tadi.

Aktiviti lumba haram yang dilakukan di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Grand Saga itu dikesan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman ketika menjalankan Op Samseng Jalanan pada 1.20 pagi.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi berkenaan disertai oleh dua pegawai dan 15 anggota.

Menurutnya, ketika operasi itu polis melihat dua penunggang motosikal bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi zig-zag serta menundukkan badan di Kilometer (KM) 8.5 hingga KM7.3 Lebuhraya NPE arah Petaling Jaya.

"Kedua-dua penunggang terbabit kemudian ditahan polis sebaik berhenti di bahu Jalan PJS 1/2 Petaling Jaya.

"Pada 2.40 pagi, pasukan mengekori tiga penunggang motosikal yang melakukan aksi sama di Lebuhraya Grand Saga. Suspek berjaya ditahan ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Batu 9 Kajang dekat lebuh raya berkenaan.

"Selepas penahanan itu, empat lagi penunggang dan pembonceng yang disyaki berlumba dengan melakukan aksi sama di lebuh raya berkenaan turut ditahan semasa berhenti di kawasan Flat Sri Indah, Taman Sri Indah, Kajang pada 3.40 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek bersama motosikal mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Petaling Jaya dan Kajang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 3:18 PM