PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Umno mencadangkan agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan selepas keadaan Covid-19 selesai atau berada pada peringkat minimum.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan mengenai pentingnya Gencatan Politik dan Rekonsiliasi Nasional demi mendepani wabak Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

Beliau berkata, Umno memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai Belanjawan 2021 untuk diangkat kepada kerajaan termasuk isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan (frontliners) dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

"Lantaran itu, Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ini adalah kali kedua Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pada minggu ini.

Selasa lalu, Umno memutuskan untuk mengekalkan keputusan terdahulu dengan mendokong Perikatan Nasional (PN) tanpa kerjasama PKR dan DAP.

Ahmad Zahid berkata, Umno ingin mengulangi dengan jelas sekali lagi bahawa parti itu menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, Umno akan terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan Keluhuran Undang-Undang dan menghormati semangat termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan tidak membawa negara ke dalam darurat seperti dicadangkan pihak kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 1:04 AM