GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat perlu meluluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan kerajaan menjalankan usaha menangani penularan pandemik Covid-19, selain memastikan kelangsungan operasi sedia ada tidak terjejas.

Ketika menegaskan perkara itu, Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican berkata, ini penting memandangkan negara tidak mampu mewujudkan risiko terhadap usaha terbabit sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Malah, katanya, tindakan tidak meluluskan belanjawan itu akan turut mengundang beberapa implikasi termasuk kekangan perbelanjaan kerajaan bermula Januari 2021.

"Ia bukan sahaja (membabitkan) isu barisan hadapan menangani Covid-19, tetapi operasi dan perkhidmatan agensi kerajaan lainnya.

"Oleh itu, adalah penting untuk Belanjawan 2021 ini diluluskan dan dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan usaha memerangi Covid-19 selain pemulihan ekonomi yang lancar demi kesejahteraan rakyat untuk mendapatkan peluang pekerjaan serta pendapatan," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Sesi pengundian Belanjawan 2021 dijangka dijalankan pada 25 November ini.

Selain itu, Johan berkata, kerajaan mengimbangi aspek kesihatan, kehidupan serta mata pencarian rakyat ketika merangka Belanjawan 2021.

Menurutnya, ini penting kerana penyediaan belanjawan itu perlu membabitkan sumber mencukupi untuk memastikan usaha dirancang tidak terjejas dan kegiatan ekonomi dapat dijalankan.

Atas dasar itu, fokus diberikan terhadap golongan rentan atau mudah terjejas dan pada masa sama tidak mengabaikan golongan M40 demi kelangsungan kehidupan mereka.

Beliau berkata, ini termasuk mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 9.0 peratus daripada 11 peratus bermula Januari 2021 untuk meningkatkan pendapatan bolehguna ahli KWSP.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 8:00 PM