MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Jumlah katil hospital dan pusat rawatan untuk kes Covid-19 di Sabah kini sudah digunakan sebanyak 52.5 peratus sahaja, bukan 99.5 peratus seperti dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, setakat hari ini, bilangan katil di hospital dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) berjumlah 7,237 katil untuk pesakit Covid-19 dan 126 katil di unit rawatan rapi (ICU) .

Beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 masih menerima rawatan ialah 3,796 dan menunjukkan penggunaan katil hanya sebanyak 52.5 peratus.

Katanya, pihaknya tampil memberi penjelasan mengenai jumlah sebenar kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 di Sabah dan turut memberitahu kesilapan terbabit tidak disengajakan.

"Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf mengenai kesilapan jumlah kapasiti katil dilaporkan semasa sidang media saya pada 22 Oktober lalu.

"Saya meneliti semula jawapan itu dan saya dapati kesilapan dari segi pengiraan kerana angka diberi sebelum ini adalah angka kumulatif, bukan angka aktif," katanya pada satu sidang media khas perkembangan Covid-19 di Sabah di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi perkembangan harian Covid-19 di Sabah itu menjelaskan sentiasa berusaha menambah bilangan katil untuk meningkatkan kapasiti katil bagi menampung pesakit.

"Usaha ini termasuk menjadikan bangunan kerajaan lain seperti Dewan Masyarakat, Kompleks Sukan dan lain-lain PKRC.

"Sehubungan itu, walaupun terdapat peningkatan bilangan pesakit Covid-19 hari, katil hospital masih mencukupi.

"Selain itu, setiap hari, bilangan pesakit sembuh adalah tinggi. Terdapat sembilan hospital dan 35 PKRC dijadikan sebagai pusat rawatan untuk kes Covid-19 di Sabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, saringan ke atas semua banduan Kluster Penjara Kepayan sudah selesai diadakan.

Menurutnya, berkata jumlah keseluruhan disaring seramai 2,701 orang membabitkan warganegara dan bukan warganegara.

"Kumulatif kes positif adalah 1,652 orang membabitkan 1,212 warganegara dan 440 bukan warganegara.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenalpasti kes indeks Kluster Penjara Kepayan iaitu seorang tahanan yang dibawa ke Hospital Queen Elizabeth atas masalah kesihatan sebelum disahkan positif ketika saringan pra kemasukan ke "Beliau tidak menunjukkan sebarang simptom berkaitan Covid-19 semasa saringan dijalankan dan dipercayai punca jangkitan diperoleh daripada komuniti," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 10:10 PM