SERPIHAN cermin ditampal di luar rumah untuk melihat kehadiran pihak berkuasa. FOTO ihsan AADK
SERPIHAN cermin ditampal di luar rumah untuk melihat kehadiran pihak berkuasa. FOTO ihsan AADK
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GUNA serpihan cermin untuk dijadikan ‘CCTV’ bagi mengelakkan rumah yang dijadikan port untuk menghisap dadah dikesan pihak berkuasa.

Itu dilakukan lelaki yang menjadikan rumahnya di Kampung Lubuk Boi, Yan sebagai markas untuk melepaskan gian bersama dua lagi wanita.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dihidu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan rumah terbabit diserbu dalam operasi yang bermula pada 12 tengah hari.

Ketua AADK daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, operasi dijalankan di beberapa buah kampung di daerah ini termasuk Kampung Lubuk Boi, Kampung Permatang Keramat, Kampungg Setol, Kampungg Baru Guar Chempedak dan Kampung Telok Mat Acheh.

“Ketika serbuan di Kampung Lubuk Boi dijalankan sebuah rumah lengkap dengan tanda amaran tidak membenarkan orang luar masuk dikesan.

“Pemilik rumah juga dikesan menggunakan serpihan cermin yang ditampal di bahagian luar rumah untuk melihat kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, lelaki dan dua wanita berkenaan yang menjadikan rumah itu sebagai port penagihan berjaya ditahan.

“Dalam operasi yang sama di Kampung Permatang Keramat, AADK berjaya menahan suami isteri yang positif dadah jenis methaphetamine.

“Pasangan berkenaan mempunyai tiga anak berusia 4 bulan hingga lima tahun,”katanya.

Katanya, operasi berkenaan berjaya menahan sembilan penagih dadah berusia 20 hingga 52 tahun.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke pejabat AADK daerah Yan untuk tindakan lanjut. Hasil saringan air kencing mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 11:28 PM