ANTARA individu yang ditahan AADK Daerah Yan. FOTO ihsan AADK
ANTARA individu yang ditahan AADK Daerah Yan. FOTO ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


WANITA berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal antara lapan individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah.

Ibu tunggal berusia 32 tahun yang mempunyai enam anak itu ditahan di rumahnya di Simpang Tiga Sungai Daun, Yan, awal pagi tadi.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, wanita terbabit ditahan menerusi satu operasi di sekitar daerah Yan yang bermula 10 malam sehingga 3 pagi tadi.

"Wanita yang kudung tangan kiri itu dikatakan mula berjinak dengan dadah sejak berumur 15 tahun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati wanita terbabit positif syabu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menumpukan tujuh lokasi lain membabitkan Permatang Keramat, Kampung Dulang Besar, Kampung Kuala Sungai Limau Dalam, Kampung Alor Pinggu, Kampung Simpang Tiga Sungai Limau Dalam, Taman Setia Jaya dan Kampung Teluk Mat Acheh.

Katanya, semua yang ditahan berusia berumur antara 22 hingga 44 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis opiat dan syabu.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 4:04 PM