SEORANG tokan bersama lima penagih yang ditahan pihak berkuasa AADK daerah Yan dalam serbuan di Kampung Singkir Laut, semalam. FOTO Ihsan AADK
SEORANG tokan bersama lima penagih yang ditahan pihak berkuasa AADK daerah Yan dalam serbuan di Kampung Singkir Laut, semalam. FOTO Ihsan AADK
Nur Syazwana Mansor


BEKAS penjawat awam berusia 48 tahun dipercayai menjadi tokan dadah antara lima yang ditahan pihak berkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi yang dijalankan di kawasan Kampung Singkir Laut, Yan, semalam.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata serbuan dijalankan pada 9.30 malam di rumah di kampung terbabit yang dipercayai menjadi tempat membungkus dan melepas gian melalui maklumat awam serta risikan yang dijalankan sejak dua minggu lalu.

Mohamad berkata, operasi yang membabitkan lapan orang anggota berjaya menahan lima individu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penagihan dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah terbabit turut menjumpai enam paket dadah jenis opiat anggaran berat 28.3 gram dan sepaket methamphetamine anggaran berat 0.8 gram di dalam bungkusan plastik lutsinar.

"Tokan dadah yang berusia 48 tahun itu bersama empat yang lain berusia 25 hingga 40 tahun ditemui sedang leka melepaskan gian di rumah terbabit.

"Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit adalah bekas penjawat awam yang kini menjadi tokan dadah sepenuh masa," katanya ketika dihubungi

Katanya, tokan serta dadah yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik IPD Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati empat penagih terbabit positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Tokan berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala empat penagih terbabit akan disiasat di bawah seksyen (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 7:42 PM