Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri belum bercadang menutup semua sekolah di negeri ini walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini terutama membabitkan pelajar sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun mencatatkan pertambahan mendadak bilangan positif Covid-19 setakat semalam sekali gus menjadikan Seremban zon merah, namun kerajaan negeri masih terus memantau situasi itu.

"Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup semua sekolah di Negeri Sembilan walaupun daerah Seremban dikategorikan zon merah selepas mencatatkan pertambahan mendadak kes positif Covid-19.

"Keputusan ini kita ambil hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19, pagi ini.

"Setakat ini hanya tiga sekolah diarahkan tutup iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin, Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) di Senawang dan SMK Datuk Undang Haji Adnan (DUHA), Rembau," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JKKN di sini, hari ini.

Beberapa anggota pasukan keselamatan berkawal di hadapan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kawasan Perindustrian Senawang berikutan seramai 33 pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa positif koronavirus (Covid-19). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Beberapa anggota pasukan keselamatan berkawal di hadapan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kawasan Perindustrian Senawang berikutan seramai 33 pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa positif koronavirus (Covid-19). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Sehingga tengah hari semalam, Negeri Sembilan merekodkan 38 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,157 kes.

Daripada jumlah itu, 1,066 kes sembuh dan discaj manakala 83 kes yang masih menerima rawatan di wad serta kematian masih kekal lapan lapan kes.

Daerah Seremban dikategorikan sebagai zon merah berikutan Kluster Sofi yang membabitkan 38 kes positif semalam.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya menasihatkan semua pihak tidak perlu panik berikutan peningkatan kes Covid-19 walaupun terdapat kawasan yang dikategorikan zon merah.

"Setakat ini kes positif Covid-19 hanya membabitkan sekolah di kawasan tertentu dan bukannya menyeluruh manakala ia masih terkawal.

"Kita (kerajaan negeri) akan terus memantau, namun apa yang penting rakyat perlu mematuhi peraturan dan mengamalkan norma baharu dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:43 PM